Sunday, May 29, 2011

Hadis Lalat dan Sains

0 comments

Hadis Lalat dan Sains


Mengikut riwayat Bukhari dari Abu Hurairah, nabi bersabda, “Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minum salah seorang antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Benarkah pada lalat terdapat punca-punca penyakit serta penawar?

Lalat memang dikenali di seluruh dunia. Pada tahun 1964, ahli-ahli sains mengenal pasti 80,000 spesies lalat di seluruh dunia. Lalat rumah dikenali sebagai Musca domestica. Lalat ini mudah ditemui di mana-mana termasuk di kepulauan Arab. Luther West dalam buku The Housefly - Its Natural History, Medical Importance, And Control, terbitan New York pada tahun 1951, menyatakan lalat jenis Musca domestica banyak terdapat di kawasan Timur Tengah. Justeru, apabila nabi bersabda tentang lalat, besar kemungkinan baginda sedang menceritakan tentang lalat dari jenis ini.

Lalat buah atau fruit-flies yang kadang kala dikenali juga sebagai lalat arak atau wine flies serta lalat cuka atau vinegar flies, juga banyak terdapat di Timur Tengah. Jenis yang agak terkenal daripada kumpulan ini ialah yang bernama Drosophila melanogaster. Kajian di dalam bidang entomologi mendapati lalat jenis ini jinak dengan manusia dan sering terdapat di kawasan buah-buahan yang banyak berlaku proses fermentasi. Justeru, arak merupakan tarikan kepada lalat jenis ini. Di samping itu ia juga menyukai suhu yang tinggi seperti yang disebutkan oleh Harold Oldroyd dalam buku The Natural History of Flies. Mekah dan Madinah mempunyai suhu yang tinggi. Persekitarannya subur dengan pohon-pohon kurma dan anggur dan kedua-dua ini digunakan untuk membuat arak. Minuman arak, apatah lagi di zaman jahiliah, merupakan budaya hidup orang-orang Arab. Tidak akan meriah sesuatu majlis tanpanya. Orang Arab begitu memuja arak hinggakan bahasa arab mempunyai lebih kurang 250 kalimat yang melambangkan arak. Hal ini disebutkan dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka. Ketika Islam datang arak belum diharamkan. Islam hanya mengharamkannya selepas berlakunya hijrah ke Madinah dan selepas diwajibkan ibadah solat. Justeru, persekitaran yang seperti ini yang kaya dengan arak cukup sesuai untuk pembiakan lalat Drosophila melanogaster.

Apa yang signifikan ialah, lalat daripada kedua-dua jenis ini, iaitu Musca domestica dan Drosophila melanogaster (terutamanya Drosophila melanogaster), menjadi bahan kajian utama para ahli sains pada hari ini bertujuan untuk mengenali penyakit-penyakit manusia serta penawar baginya. Justeru, fokus nabi tentang lalat dalam konteks penyakit dan penawar, amat relevan dengan isu kesihatan dan perubatan pada hari ini.

Lalat dan Penyakit

Sabda nabi yang bermaksud, “Pada sebelah sayapnya mengandungi penyakit,” adalah satu pernyataan umum yang menunjukkan lalat merupakan agen pembawa penyakit kepada manusia. Ia juga mengisyaratkan bahawa lalat mengandungi banyak kuman yang memudaratkan. Sabda nabi ini hanya dapat difahami pada abad-abad terkemudian. Pada tahun 1577, Mercurialis melontarkan pandangan tentang kemungkinan lalat merupakan serangga pembawa penyakit kepada manusia, tetapi pendapat ini tidak dapat dikukuhkan dengan bukti. Hanya pada abad kesembilan belas sahaja kajian yang mendalam dilakukan untuk mengesahkan perkara ini, contohnya, kajian yang dilakukan oleh Profesor J. Leidy pada tahun 1871. Beliau yang merupakan seorang pakar dalam bidang ilmu serangga atau entomologist mendapati lalat adalah pembawa pelbagai kuman kepada manusia. Pada tahun 1929, H.Y. Yao, I.C. Yuan dan D. Huie mengkaji lalat-lalat di Beijing dan mendapati luarannya mengandungi lebih kurang 3,683,000 kuman bakteria dan dalamannya mengandungi 6-8 kali ganda kuman berbanding luarannya. Hal ini disebutkan dalam buku Insect Immunology oleh Edward A. Steinhaus terbitan New York.

Pada tahun 1912, risalah pendidikan kesihatan di Amerika memperkenalkan lalat sebagai ‘serangga paling berbahaya yang pernah dikenali manusia selama ini’. Lalat dikenal pasti sebagai agen pembawa penyakit demam kepialu, taun, cirit birit, sakit mata, dan banyak lagi.

Lalat Memiliki Penawar

Sabda nabi, “Dan pada sebelah sayap (lalat) ada penawar,” menunjukkan, walaupun lalat ialah agen pembawa kuman serta penyakit, namun tubuh lalat yang sama juga memiliki penawar serta bahan anti kuman yang bermanfaat bagi manusia.

Hal ini disahkan oleh para saintis pada abad ke-20. Sebagai contoh, Shope pada tahun 1927, dan Glaser 1938, mendapati ada kuman-kuman virus dalam badan lalat yang berfungsi membunuh kuman-kuman bakteria. Kajian ke atas lalat rumah Musca domestica menunjukkan, ia mengandungi virus bacteriophage yang mampu membunuh kuman-kuman Staphylococcus muscae, Escherichia coli, Salmonella paratyphi dan Eberthella typhosa yang menjadi penyebab kepada penyakit cirit birit dan demam kepialu. Inilah penemuan virus bacteriophage yang pertama di dalam serangga dan ia merangsang kepada penemuan-penemuan yang lain.

Sebelum itu, pada tahun 1926, J.I. Duncan menemui bahan-bahan aktif pembunuh bakteria di dalam usus lalat rumah. Pada tahun 1939 pula, Lal, Ghosal dan Mukherji mendapati lalat mampu mengubah kuman taun vibrio cholera kepada bentuk yang lain yang tidak berbahaya. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku The Housefly - Its Natural History, Medical Importance, And Control oleh Luther West.

Penemuan sains pada abad ke-20 juga menyedarkan manusia tentang betapa benarnya sabda nabi yang bermaksud, “Celuplah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar.” Pusingan hidup lalat bermula dengan telur. Telur menetas dan mengeluarkan larva, kemudiannya berubah kepada pupa dan kemudian barulah menjadi lalat dewasa. Semua ini adalah proses yang perlu dilalui oleh seekor lalat. Lalat di dalam bentuk larva (maggots) amat bermanfaat pada manusia.

Sebagai contoh, M.A. Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika ‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti Staphylococcus aureus, Haemolytic streptococci dan Clostridium welchii. Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.


Penemuan-penemuan ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi merawat luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini, bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana di http://www.soundmedicine.iu.edu. Sebagai contoh, ia dicadang untuk digunakan bagi merawat luka disebabkan kencing manis. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Diabetes Health terbitan Mac 1995. Antara institusi perubatan yang telah menggunakan pendekatan ini ialah Long Beach Veterans Affairs Medical Center. Di Belanda pula pakar-pakar perubatan melaporkan mereka berjaya merawat sebelas kes luka yang teruk dengan menggunakan larva lalat. Kaedah ini berjaya mengawal infeksi kuman dan menyelamatkan kes-kes ini dari pembedahan amputasi. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases.

Kuasa penawar yang ada pada lalat memang menakjubkan. Dalam sebuah buku karangan Dr. Ghyath Hasan al-Ahmad bertajuk al-Tibb al-Nabawi fi Daw al-Ilm al-Hadith (Prophetic Medicine in the Light of Modern Science) terbitan tahun 1955, dilaporkan tentang satu eksperimen yang dilakukan oleh Dr. Nabîh Da’ish di Universiti Raja Abdul Aziz di Riyadh. Beliau menyediakan sepuluh kultur bakteria (bacterial cultures) dan dimasukkan seekor lalat ke dalamnya tanpa dicelupkan lalat itu ke dalam kultur. Beliau kemudiannya menyediakan 10 lagi kultur bakteria dan dimasukkan serta dicelupkan lalat ke dalamnya sebanyak sekali. Selepas itu disediakan pula lagi 10 kultur bakteria dan pada kali ini lalat dicelupkan ke dalam kultur sebanyak dua kali. Perbuatan ini disusuli dengan penyediaan 10 lagi kultur bakteria dan lalat dicelupkan ke dalamnya sebanyak tiga kali. Dr. Nabîh Da’ish mendapati kuman terus hidup dan membiak dalam kultur yang pertama yang mengandungi lalat yang tidak dicelup. Dalam kultur yang kedua kuman-kuman tidak mampu membiak malah sebahagiannya terbunuh dan aktiviti antikuman ini meningkat dalam kultur ketiga dan keempat. Penemuan ini menunjukkan pengeluaran bahan antikuman tertentu oleh lalat ada perkaitan dengan perbuatan mencelup lalat ke dalam cecair. Ia selari dengan sabda nabi yang disebutkan sebelum ini. (Untuk perincian sila baca buku ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ karangan Dr. Danial bin Zainal Abidin, terbitan PTS Publication).

Nukilan 
Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
Beliau ialah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,
Pengamal Perubatan selama 20 tahun,
Motivator Radio Malaysia Pulau Pinang selama 10 tahun,
Penulis 10 buah buku, Kolumnis Majalah-i
Pemudah Cara Pelbagai Korporat dan Institusi,
Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa. 
ARTIKEL INI DIMUATKAN DALAM MAJALAH-i BULAN APRIL 2006

Monday, May 16, 2011

NASIHAT IMAM SYAFIE: PANDUAN BERSAHABAT ..

0 comments

NASIHAT IMAM SYAFIE: PANDUAN BERSAHABAT ..





1.Sahabat Yang Baik

Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.

2.Mencari Sahabat Di Waktu Susah

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Padahal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Kalau suka melanda, aku sering bertanya. Siapakah yang sudi menjadi sahabatku? Dikala aku senang, sudah biasa bahawa banyak orang yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah merekapun bertepuk tangan.

3.Pasang-Surut Persahabatan

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tak ubahnya roda zaman yang tak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri dari mereka, mereka mencemuhkan dan jika aku sakit, tak seorangpun yang menjengukku. Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

4.Mengasingkan Diri Lebih Baik Daripada Bergaul Dengan Orang Jahat

Bila tak ketemukan sahabat-sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang-orang jahat.

Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkanku daripada bersahabat dengan kawan yang mesti kuwaspada.

5.Sukarnya Sahabat Sejati

Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan dari manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka kelak kamu akan memperolehi kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang-orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan ku janji orang-orang mulia kerana kebaikannya sedikit.

6.Sahabat Sejati Di Waktu Susah

Kawan yang tak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidupku aku berjuang keras mencari sahabat sejati sehinggalah pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tak satu negarapun yang penduduknya berhati manusia.

7.Rosaknya Keperibadian Seseorang

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi tipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri-duri itu.

8.Menghormati Orang Lain

Barangsiapa menghormati orang lain, tentulah ia akan dihormati. Begitu juga barangsiapa menghina orang lain, tentulah ia akan dihinakan.

Barangsiapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barangsiapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat.

9.Menghadapi Musuh

Ketika aku menjadi pemaaf dan tak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas dari bara permusuhan. Ketika musuhku lewat di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku dari kejahatan.

Aku tampakkan keramahanku, kesopananku dan rasa persahabatanku kepada orang-orang yang kubenci, sebagaimana ku tampakkan hal itu kepada orang-orang yang kucintai.

Manusia adalah penyakit dan penyakit itu akan muncul bila kita mendekati mereka. Padahal menjauhi manusia bererti memutuskan persahabatan.

10.Tipu Daya Manusia

Mudah-mudahan anjing-anjing itu dapat bersahabat denganku, kerana bagiku dunia ini sudah hampa dari manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk majikannya yang tersesat, tidak seperti manusia-manusia jahat yang selamanya tak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri.

11.Tempat Menggantungkan Harapan

Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang-orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahupun setelah mati.

12.Menjaga Nama Baik

Jika seseorang tak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat sang kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.

Tak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tak sopan. Jika cinta suci tak datang dari tabiatnya, maka tak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal-hal yang kelmarin menjadi rahsia.

Selamat tinggal dunia jika tasnya tidak lagi ada sahabat yang jujur dan menepati janji.

Sumber: SUARA MASJID AL-AZIM
Sahabat yang baik adalah lebih mahal dari segunung emas permata.

ADAB BERSAHABAT & BERJIRAN

0 comments


ADAB BERSAHABAT & BERJIRAN





Bersahabat biarlah setia
Perasaan sahabat kenalah dijaga
Kepentingannya utamakan dari diri kita
Begitulah kalau mahu bersahabat dengan sesiapa
Jiran kita anggaplah keluarga
Kerana jiran orang yang terdekat dengan kita
Tengok-menengoklah, bantu-membantulah sesama jiran
Kehormatan jiran kenalah dijaga
Keburukan jiran jangan dijaja-jaja
Beri-memberilah sesama jiran tetangga
Ketika jiran tidak ada di rumahnya
Rumahnya kenalah kita jaga
Sikap kita jangan sampai mengganggu jiran kita
Begitulah di antara rukun berjiran dengan kita
0 comments

Nasihat al-Qamah: Lima cara pilih sahabat ..


NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara : "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

"sampaikan! lah walau satu ayat" al hadis LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH

Sahabat yang baik adalah lebih mahal dari segunung emas permata.

Hari ini Milik Anda!

0 comments
Hari ini Milik Anda!
www.iluvislam.com



Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.

Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.

Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda, sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan, masa lalu dengan pelbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi masa itu, dan masa depan  yang penuh ketidakpastian dan seringkali menakutkan.

Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari sahaja. Dan pada hari inilah anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat anda yang paling khusyu', membaca dan memahami Al-Quran secara mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, perhatikan terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.

Untuk hari ini, anda harus mulai membahagi waktu dengan bijak. Jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu; memelihara indahnya kehidupan, meminta ampunan dari pelbagai dosa yang telah dilakukan, mengingati Tuhan dam mempersiapkan diri untuk pergi jauh (mengharapNya). Dengan demikian hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram serta menerima rezeki isteri, suami, anak-anak, adik-beradik, ibu bapa, tugas-tugas dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.

" Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur. (Al-'Araf : 144) "

Hidup anda pada hari ini juga tanpa kesedihan, gangguan, kemarahan, kedengkian, pengkhianatan, kebencian atau sakit hati. Jangan lupa hendaklah anda mengukir sebuah tulisan dalam hati anda atau di meja tempat anda bekerja atau belajar. 'Hari ini adalah milikmu'. Yakni, apabila hari ini anda dapat memakan nasi yang harum baunya, maka apakah anda masih terfikir tentang nasi basi yang telah anda makan kelmarin yang akan membahayakan kesihatan anda? Mungkin anda masih berfikir tentang nasi tersebut dan masih ada dalam angan-angan.

Seandainya anda percaya akan diri sendiri dan mampu mengerjakan segala sesuatu dengan semangat dan tekad yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip; "Masa hidupku hanyalah pada hari ini". Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda.

Dan itu, akan membuat anda berkata dalam hati:
" Hanya hari ini aku berkesempatan untuk mengatakan yang baik-baik saha; tidak bercakap kotor, tidak pernah mencela, mengherdik, mengejek, menyindir dan juga membicarakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berkesempatan mengemas rumah dan pejabat agar tidak berserabut. Dan kerana hanya hari ini saja aku akan hidup, maka aku akan memperhatikan kebersihan tubuhku, kesucian jiwaku, kerapian penampilanku, kebaikan tutur kata dan tindak-tandukku "

Kerana aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Tuhanku, mengerjakan solat sesempurna mungkin dengan penuh tumpuan,  membekali diri dengan solat-solat sunat, berpegang teguh pada Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang bermanfaat yang ada di dalamnya.

Aku hanya akan hidup hari ini!
Oleh sebab itu, aku perlu menanam dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan yang kutanam sampai ke akar-akarnya dan mematahkan ranting-rantingnya yang berduri; seperti sifat tamak, hasad, riya', sombong, bakhil dan buruk sangka.

Hanya hari ini aku akan dapat menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapapun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantarkan jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi mereka yang sesat, memberi makan orang kelaparan, menolong orang yang dalam kesulitan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang- orang alim, menyayangi anak kecil, dan berbakti kepada orang tua.

Aku hanya akan hidup hari ini, maka aku akan mengucapkan :
 " Wahai masa lalu, yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tidak akan pernah menangisi pemergianmu, dan kamu tidak akann pernah melihatku termenung sedetik pun mengingatimu. Kamu telah meninggalkan kami semua pergi dan tidak akan kembali lagi "

" Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban! MAka aku tidak akan pernah bermain dengan khayalan dan menjual diri hanya untuk sebuah dugaan. Aku tidak akan memburu sesuatu yang belum pasti kerana esok hari mungkin tiada sesuatul esok hari adalah sesuatu yang belum diciptakan dan tiada suatu pun darinya yan dapat disebutkan "

" Hari ini milik anda", adalah ungkapan yang paling indah dalam "kamus kebahagiaan" kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah menyenangkan.



Sumber : Sedutan buku La Tahzan - Jangan Bersedih! - Karangan Dr. 'Aidh bin 'Abdullah Al-Qarni