Tuesday, September 27, 2011

Siapakah Uwais Al-Qarni?

0 comments



Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpernampilan cukup tampan.

Kulitnya kemerah-merahan, dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya, tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya.

Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai selendang, tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.

Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa'atnya.

Ternyata Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.

Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata manusia.

Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan hatinya.

Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.

Suatu ketika, seorang fuqoha' negeri Kuffah, kerana ingin duduk dengannya, memberinya hadiah dua helai pakaian, tapi tidak berhasil dengan baik, kerana hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula olehnya, seraya berkata:

"Aku khawatir, nanti sebahagian orang menuduh aku, dari mana kamu dapatkan pakaian itu, kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri."

Pemuda daripada Yaman ini (Uwais) telah lama menjadi yatim, tidak punya sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.

 

Untuk mencukupi kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk sekadar menumpang keperluan hariannya bersama ibunya, bila ada kelebihan, dia pergunakan untuk membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti keadaannya.

Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya, ia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.

Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa negeri Yaman mendengar seruan Nabi Muhammad S.A.W  yang telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.

Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya sangat menarik hati Uwais, sehingga setelah seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.

Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.

Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum.

Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih, tapi apalah daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah, dan yang lebih ia beratkan adalah ibunya yang jika dia pergi, tidak ada yang akan merawatnya.

Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya patah karena dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya terdengar oleh Uwais.

Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada beliau S.A.W, sekalipun ia belum pernah melihatnya.

Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung membuat hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"

Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup di hatinya meninggalkan ibunya sendiri, hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa.

Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.

Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham akan hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,

"Pergilah wahai anakku! temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."

Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat dan dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.

Sesudah siap segala persediaan sambil mencium sang ibu, berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak kurang lebih empat ratus kilometer dari Yaman.

Medan yang begitu ganas dilaluinya, tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirindukannya.

Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah sayyidatina 'Aisyah
R.A sambil menjawab salam Uwais.

Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata beliau S.A.W tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.

Bilakah beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.

"Engkau harus lekas pulang."

Kerana ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.

Dia akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina 'Aisyah R.A ke negerinya Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.

Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit).

Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.

Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."

Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:

"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."

Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah digantikan dengan Khalifah Umar R.A.

Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.

Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua.

Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.

Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.

Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.

Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.

Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,

"Siapakah nama saudara?"

"Abdullah." Jawab Uwais.

Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,

"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"

Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."

Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.

Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,

"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."

Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,

"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."

Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.

Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata,

"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."

Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.

Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan ditolong oleh Uwais, waktu itu kami sedang berada di atas kapal menuju tanah Arab bersama para pedagang, tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.

Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.

Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.

"Wahai waliyullah, tolonglah kami!" Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,

" Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!"

Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,

"Apa yang terjadi?"

"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.

"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya.

"Kami telah melakukannya."

"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!"

Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu jumlah kami lima ratus jiwa lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.

Lalu orang itu berkata pada kami,

"Tak apalah harta kalian menjadi korban asalkan kalian semua selamat."

"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?" Tanya kami.

"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat.

Kemudian kami berkata lagi kepadanya,

"Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."

"Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.

"Ya!" Jawab kami.

Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan.

Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal. Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah.

Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.

Demikian pula ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.

Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,

"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas di kuburnya."

(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)

Meninggalnya Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.

Sejak ia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.

Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni?
Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa,
yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"

"Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."

Agaknya mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya untuk
mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.

"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."

Sunday, August 21, 2011

0 comments

Penentuan malam Lailatul Qadar Oleh Profesor Dr Amin Al-Buttusyh.




Penentuan malam Lailatul Qadar Oleh Profesor Dr Amin Al-Buttusyh.
Pensyarah Universiti Mu'tah
Tenaga Pengajar Tafsir Al-Quran lebih dari 30 tahun.

Secara umumnya lailatul qadar berada di dalam sepuluh akhir dari ramadhan. 
Berdalilkan:

Dari Al-Quran:

1-lafaz “ليلة القدر” mengandungi 9 huruf dan lafaz ini berulang sebanyak 3 kali di dalam surah al-qadr.
 Maka 9x3=27 iaitu malam ke 27 ramadhan.

2-Perkataan “هي” di dalam surah al-qadr berada di kedudukan tertib ke 27 dari susunan perkataan.

Dari hadis:

1-Hadis aisyah r.a yang diriwayatkan Bukhari, Tirmizi dan Ibnu Majah:
“Carilah lailatul qadar dalam 10 terakhir dari ramadhan"

2-Hadis Abi Said Al-Khudri r.a yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim:

“Telah turun hujan pada satu malam iaitu malam ke 21, maka telah membasahi tempat sujud nabi s.a.w, maka aku melihat kepadanya sesudah selesai solat subuh, wajah baginda dibasahi dengan lumpur dan air"

3-Hadis Ubadah bin Somit1 yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari:

“Carilah lailatul qadar pada 9 dan 7 dan 5”

-Maksud hadis: ke 9 bermaksud malam ke 21, ke 7 bermaksud malam ke23, dan ke 5 bermaksud malam ke 25.
-Ataupun ia bermaksud  jika di tambah 9+7+5=21. Iaitu malam ke 21.

       Dan banyak lagi hadis-hadis yang menyebut tentang malam lailatul qadar dalam hari-hari yang berbeza, maka natijahnya: Semua hadis-hadis ini menunjukkan lailatul qadar terdapat pada hari-hari ganjil 10 malam terakhir Ramadhan.

Pendapat-pendapat ulamak mengenai malam lailatul qadar:

1-Imam Mali, As-Sauri, Ishaq, Ahmad bin Hanbal dan lain-lainnya: Malam ganjil yang berpindah-pindah dalam malam ke 21,23, 25,27 dan 29.

2-As-Syafiyah: Malam 10 yang ganjil, dan lebih cenderung pada malam 21 dan 23.

3-Sebahagian ulamak yang lain: Malam 27 secara tetap setiap tahun.

Pendapat yang tepat: Lailatul qadar berubah-ubah setiap tahun dalam malam-malam ganjil.


Menentukan awal ramadhan.

Berdasarkan pemerhatian pada tahun-tahun lepas, kami mendapati bahawa awal Ramadhan tidak akan datang pada malam jumaat dan malam ahad. Akan tetapi pada tahun 2002 dan 2005,  awal ramadhan datang pada malam jumaat, dan tahun 2004 pula awal ramadhan datang pada malam ahad berdasarkan kiraan falak di sesetengah tempat. 

Akan tetapi pengiraan ini salah, ia disahkan di dalam satu artikel oleh syeikh mamduh bin Matab Al-Jabrain yang dikeluarkan di Riyadh. Kesalahan ini disahkan kerana malam lailatul qadar telah jatuh pada malam-malam genap pada tahun-tahun  itu. 

Malam lailatul qadar dapat dipastikan  melalui matahari yang terbit pada pagi itu putih atau merah yang tidak memancarkan cahaya seperti yang digambarkan dalam hadis Ibnu Masud r.a. Dan Lailatul qadar pada malam-malam genap adalah bercanggah dengan hadis-hadis dan perkataan dari para sahabat r.a bahawa ia berlaku pada malam ganjil.

Kesalahan ini berlaku disebabkan terdapat perselisihan sebanyak empat cara pengiraan di kalangan ahli-ahli falak seperti yang dinyatakan oleh ahli falak mesir DR شلتوت dan DR dari Amerika iaitu Jeff Schester di dalam perbincangan Al-Jazirah  pada hari isnin 23/10/2006.


Mengikut pengiraan, ramadhan disyariatkan pada tahun ke dua hijrah, dan  nabi s.a.w wafat pada tahun ke 10 hijrah, maka nabi telah berpuasa selama 9 tahun sebelum baginda wafat. Jika dilihat sepanjang 9 tahun ini tiada awal ramadhan yang bermula pada malam jumaat dan ahad. Tarikh dan hari awal ramadhan sepanjang 9 tahun itu adalah seperti berikut:

-Tahun ke dua hijrah: Malam isnin 25/2/624M
-Tahun ketiga Hijrah: Malam sabtu 14/2/625M
-Tahun keempat Hijrah: Malam rabu 3/2/626M
-Tahun kelima Hijrah: Malam isnin24/1/627M
-Tahun keenam Hijrah: Malam sabtu 13/1/628M
-Tahun ketujuh Hijrah: Malam selasa 2/1/269M
-Tahun ke lapan Hijrah: Malam Sabtu 21/12/629M
-Tahun ke Sembilan Hijrah : Malam khamis 10/12/630M
-Tahun kesepuluh Hijrah: Malam isnin 30/11/631M



Kesimpulannya: Awal Ramadhan hanya akan datang pada malam sabtu, malam isnin, malam selasa, malam rabu dan malam khamis.
Ia tidak akan datang pada malam jumaat dan malam ahad.


 

Di bawah ini akan dinyatakan jadual penentuan awal ramadhan dan malam lailatul qadar. Awal ramadhan diketahui dengan kajian falak hasil dari pemerhatian perjalanan bulan pada setiap tahun melalui teleskop moden dan satelit. 

Manakala lailatul qadar pula diketahui melalui pemerhatian malam lailatul qadar sejak 8 tahun iaitu sejak 1998 sehinggalah 2006(Kitab ini disiapkan pada 2007) sehinggalah tahun lepas lailatul qadar datang pada malam selasa yang ganjil di dalam 10 malam terakhir ramadhan.

Tahun masihi/hijrah
Awal ramadhan
Lailatul qadar
Bilangan malam
1998/1419
Malam sabtu
Malam selasa
25 ramadhan
1999/1420
Malam khamis
Malam selasa
27ramadhan
2000/1421
Malam isnin
Malam selasa
23ramadhan
2001/1422
Malam sabtu
Malam selasa
25ramdhan
2002/1423
Malam rabu
Malam selasa
21ramadhan
2003/1424
Malam isnin
Malam selasa
23ramadhan
2004/1425
Malam sabtu
Malam selasa
25ramadhan
2005/1426
Malam selasa
Malam selasa
29ramadhan
2006/1427
Malam sabtu
Malam selasa
25ramadhan
2007/1428
Malam khamis
Malam selasa
27ramadhan
2008/1429
Malam sabtu
Malam selasa
25ramadhan
2009/1430
Malam khamis
Malam selasa
27ramadhan
2010/1431
Malam isnin
Malam selasa
23ramadhan

Penglihatan pada pagi malam yang berlaku lailatul qadar ini disaksikan oleh beribu-ribu pelajar Universiti Jordan dan pelajar-pelajar Universiti Mu’tah dan sebahagian penduduk Mazar(kawasan di Jordan) dan orang-orang yang turut serta menyaksikan terbit matahari.

Insyallah tahun ni malam lailatul qadar adalah pada malam ke 23 Ramadhan, malam selasa. Bermakna hari isnin malam telah bermula lailatul qadar insyallah...


Wallaha'lam.......
Diringkaskan dari Kitab Tafsir Mauduie karangan Profesor Dr Amin Al-Buttusyh
Alih bahasa oleh : Mohammad Amir Bin Wan Harun.
Panel Taqyif Fiqh-Darul Ifta'
Mu'tah Universiti, Jordan.

Friday, August 19, 2011

ANTARA 9 MIMPI NABI MUHAMMAD SAW

0 comments
ANTARA 9 MIMPI NABI MUHAMMAD SAW

Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata,
Nabi Muhammad saw bersabda:

'Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada
malam aku sebelum di Israqkan.... ....'

1. Aku telah melihat seorang daripada umatku telah didatangi oleh
malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil
nyawanya. Namun usaha malaikat itu terhalang akan perbuatannya disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHAN ORANG TERSEBUT KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2. Aku melihat seorang daripada umatku telah disediakan azab kubur yang
amat menyeksakan, namun dia diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang daripada umatku sedang dikerumuni oleh
syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, namun ia diselamatkan
dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat
daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan
rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG
KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya daripada seksaan tersebut.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia
mendatangi suatu telaga, dia akan dihalangi daripada meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT untuk memberikannya minum sehingga dia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang
sedang duduk berkumpul-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan
diusir pergi, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil membawanya ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

7. Aku melihat seorang daripada umatku berada di dalam keadan gelap gelita
di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka
datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu
mengeluarkannya daripada kegelapan kepada tempat yang terang - benderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin
tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT
SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicaralah mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya daripada bahaya api tersebut.

SABDA RASULULLAH SAW: ' SAMPAIKANLAH PESANANKU KEPADA UMATKU YANG LAIN WALAUPUN HANYA DENGAN SEPOTONG AYAT' 

Friday, August 12, 2011

cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w

0 comments

BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.

Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.

Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:

Selalu bangun sebelum subuh

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.


Aktif menjaga kebersihan

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)


Tidak pernah makan berlebihan

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.


Gemar berjalan kaki

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

Tidak pemarah

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah
di hati.

Optimis dan tidak putus asa

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

Tidak pernah iri hati

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”


Pemaaf

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.


Dari kawan kepada kawan ^^