Wednesday, August 10, 2011

Cinta Sebelum Pernikahan : Halal Atau Haram?


Cinta Sebelum Pernikahan : Halal Atau Haram?
Islam adalah agama yang tidak bertentangan dengan fitrah manusia. Allah SWT telah menyempurnakan agama ini sehingga ia sesuai digunapakai oleh setiap generasi umat manusia hingga ke akhir zaman. Konsep Islam yang sempurna dalam segenap aspek kehidupan justeru tidak menolak nilai-nilai semulajadi yang membentuk diri manusia. Perasaan kasih sayang, benci, dendam, rindu, malu, takut, sedih dan gembira itulah yang disebut kekuatan syahwat yang sememangnya dibekalkan oleh Allah SWT kepada makhluk-Nya.
Dr Hamka menulis dalam bukunya Tasawuf Modern, ketika memetik ungkapan Imam al-Ghazali tentang hakikat bahagia menyatakan bahawa tiga syarat utama mesti dimiliki oleh manusia yang inginkan kebahagiaan; Pertama kekuatan ilmu, kemudian kekuatan syahwat dan yang terakhir kekuatan marah. Syahwat dan marah mesti berlutut di bawah ilmu sehingga tidak terjadi pemujaan syahwat dan kebuasan binatang pada diri kita.
Cinta tanpa dinafikan berputik daripada syahwat semulajadi manusia. Ia tidak boleh dihapuskan daripada detik nadi kita. Sikap manusia yang beriman ketika merasai kehadiran cinta sepatutnya menyandarkan perasaan itu pada penilaian mana yang halal dan mana yang haram. Sikap menolak terus hubungan cinta antara lelaki dan wanita adalah terlalu kejam terhadap gerak naluri yang ada pada diri. Bukankah Rasulullah SAW mencela pemuda-pemuda yang berikrar untuk tidak mahu berkahwin kerana hendak membersihkan diri? Pada akhir hadis tersebut Rasulullah SAW mengingatkan mereka: “Sesiapa yang membenci Sunnahku bukan dari golonganku.”
Tetapi bukan pula bererti Islam membebaskan naluri syahwat dengan kebebasan mutlak sepertimana yang diikuti oleh sebahagian generasi Islam yang berkiblatkan Barat. The power of love akhirnya mengalahkan agama, adat resam dan budaya sesebuah masyarakat. Ada remaja Islam yang bertudung tanpa segan silu bercumbu dengan pasangannya di taman-taman dan pusat hiburan, sementara yang sudah bergelar suami atau isteri bermain kayu tiga. Akhirnya tidak mustahil pada suatu masa nanti perilaku zina diterima menjadi budaya halal yang diterima dengan alasan kemajuan dan kebebasan individu. Demi cinta yang tiada sempadan hanya kepuasan nafsu yang dituruti.
Islam menghalalkan perhubungan cinta yang dibatasi dengan adab-adabnya, sehinggakan Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengarang kitab yang membahaskan tentang cinta dan kerinduan iaitu Raudhah al-Muhibbiin wa Nuzhah al-Musytaqiin (Taman Orang Yang Bercinta dan Dataran Orang Yang Berkasih). Ia mengupas secara tuntas apa yang dihalalkan dan diharamkan bagi mereka yang bercinta.
Ada beberapa panduan menikmati cinta dengan cara halal bagi mereka yang berkasih sebelum memasuki bahtera pernikahan.
Menjaga Pandangan.
Pandangan yang tidak disengajakan boleh membawa isyarat syahwat yang halus dan tersembunyi. Apatah lagi jika pandangan itu sengaja dilepaskan untuk memuaskan gejolak cinta. Di dalam Sahih al-Bukhari diriwayatkan kisah al-Fadhl bin al-Abbas, sepupu Rasulullah SAW yang duduk bersama Nabi SAW di atas untanya ketika perjalanan ibadat haji dari Muzdalifah ke Mina. Tiba-tiba sekumpulan wanita yang lalu di hadapan mereka menarik perhatian al-Fadhl bin al-Abbas (belia tampan yang masih muda remaja) sehingga Rasulullah SAW terpaksa membalikkan muka al-Fadhl ke arah lain.
Mata merupakan organ seks yang paling awal berfungsi. Kerana dari pandangan akan berputik syahwat menurut kadar rangsangan kenikmatannya yang tersendiri. Benarlah firman Allah SWT yang memberi panduan bagi lelaki dan wanita yang terpaksa berkomunikasi dalam urusan yang tidak dapat dielakkan. “Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (Surah al-Nur: Ayat 30-31)
Jangan Berdua-duaan
Pintu masuk syaitan hendaklah ditutup rapat sebelum mata sama memandang, hati berpautan, gerak tubuh meminta perhatian, tangan berpegangan, suasana yang sunyi akhirnya menghantar angin nafsu syahwat yang mematikan iman. Tetapi pada zaman sekarang kita jumpai pasangan yang bermesra di khalayak ramai tanpa segan dan malu. Agaknya perlu ditekankan juga bahawa maksud berdua-duaan sebenarnya adalah duduk berdua secara sembunyi atau di khalayak ramai adalah sama diharamkan jika timbul gerakan haram seperti menyentuh, memandang dengan berahi dan mengeluarkan kata-kata yang merangsangkan. Kerana boleh jadi seseorang dengan hanya mengirimkan mesej melalui Sistem Pesanan Ringkan (SMS) dapat menyampaikan ghairah nafsu syahwatnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Mata itu berzina, zinanya adalah memandang, lidah itu berzina, zinanya adalah perkataan, kaki itu berzina, zinanya adalah langkahnya, tangan itu berzina, zinanya adalah memegang, hati berkehendak dan berkhayal sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakannya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasaie dan Abu Daud)
Cinta Kerana Allah
Jika ditakdirkan kita bertemu dengan kekasih hati sebelum gerbang perkahwinan dimasuki, alangkah bertuahnya jika fasa berkenalan disulam dengan benang-benang iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara jika ada pada seseorang ia akan merasakan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai dari selainnya, ia tidak mencintai seseorang melainkan kerana Allah dan ia enggan kembali kepada kekufuran sepertimana ia benci dilemparkan ke neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Turmizi, al-Nasaie)
Kekuatan cinta sejati ada pada akhlak suci yang disemai bersama iman yang membara di hati. Pasangan kekasih yang saling mencintai memang sangat tersiksa dengan batasan-batasan yang digariskan syariat yang dengan tegas dan jelas menutup jalan-jalan menuju zina. Namun begitu ubat yang paling mujarab bagi yang sakit kerana bercinta adalah pernikahan yang menghalalkan segala bentuk hubungan syahwat. Jika tidak mampu maka berpuasalah. Dengan erti kata lain jagalah akhlak, jagalah hati, jagalah adab-adabnya ketika bercinta. Eloklah kita nikmati mutiara kata Dr Hamka yang sedikit sebanyak memberi pedoman pada pasangan yang bercinta.
“Cinta ialah iradah Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau ia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau ia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan. Tetapi jika ia hinggap di hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi.”

0 comments:

Post a Comment