Monday, January 30, 2012

~Kisah Lucu ABU NAWAS.. Selamba & bijaksana~



Pada suatu hari Abu Nawas pergi ke pasar Baghdad lalu berkata dengan suara yang nyaring..

"Dalam hidup saya ada tiga perkara yang selalu saya lakukan. Kalau kalian nak dengar sila datang beramai-ramai."
Maka orang ramai pun berkumpul di keliling Abu Nawas.

"Wahai Abu Nawas otak geliga tapi perangai gila-gila. Beritahu kami apa tiga perkara itu." desak seorang pengawal Khalifah Harun Al Rashid yang kebetulan berada di situ.

"Yang pertama, saya selalu bersaksi dengan perkara yang tidak pernah saya lihat," jawab Abu Nawas." Memang tuan orang gila," kata Pengawal Khalifah.

"Yang kedua, saya selalu melarikan diri dari rahmat Allah swt." "MasyaAllah, Abu Nawas sudah sesat!" jerit orang ramai.

"Yang ketiga, saya selalu makan bangkai!." Jawapan Abu Nawas menimbulkan kemarahan orang ramai. Mereka mendesak Abu Nawas di hadapkan kepada Khalifah Harun Al-Rasyid supaya dihukum. Maka pengawal pun mengheret Abu Nawas ke istana lalu dihadapkan kepada Khalifah Harun Al Rashid. 

"Benarkah apa yang kamu katakan itu, wahai Abu Nawas?" tanya Khalifah."Benar wahai Amirul Mukminin," jawab Abu Nawas dengan tenang. " Kamu dihukum penjara," titah Khalifah Harun Al Rasyid dan orang ramai gembira mendengarnya.

Tetapi esoknya orang ramai terkejut dan merasa hairan bila melihat Abu Nawas berada di pasar dan mengulangi lagi ucapan yang sama.

"Bukankah awak sudah dihukum penjara oleh Amirul Mukminin?" tanya orang ramai.

"Benar…" jawab Abu Nawas sambil tertawa. "Saya ucapkan terima kasih sebab kamu saya mendapat hadiah daripada Khalifah yang bijaksana." Orang ramai merasa hairan lalu meminta Abu Nawas menjelaskannya.

"Amirul Mukminin Harun Al-Rashid seorang khalifah yang bijaksana dan setelah baginda mendengar penjelasan saya, maka saya dilepaskan dari penjara dan diberi hadiah oleh baginda." Jawapan itu menyebabkan orang ramai semakin takjub lalu minta penjelasan dari Abu Nawas terhadap tiga perkara yang mengelirukan mereka.

"Yang saya maksudkan bersaksi dengan perkara yang tidak pernah di lihat itu maksudnya begini, saya bersaksi bahawa Allah itu ada walaupun saya tidak pernah melihatnya."

"Melarikan diri dari rahmat Allah maknanya bila hujan turun saya melarikan diri ke tempat teduh. Bukankah hujan itu rahmat Allah?"

"Saya selalu makan bangkai maknanya saya suka makan ikan. Bukankah ikan itu tidak disembelih dan setiap haiwan yang tidak disembelih disebut bangkai?" Orang ramai kagum dengan kebijaksanaan Abu Nawas.

~tHe End~

0 comments:

Post a Comment